Wednesday, February 23, 2011

SIRI 3 : APLIKASI PENDAHULUAN KARANGAN

A . Konsep Pendahuluan 

     Pendahuluan diumpamakan pintu masuk utama kepada perkembangan idea. Pendahuluan yang baik mestilah boleh menjadi pembuka jalan dan memberi gambaran awal tentang konsep dan fakta yang dibincangkan terutama dalam bahagian isi. Oleh itu, dalam satu set pendahuluan yang lengkap, aspek-aspek yang berikut ini hendaklah diutamakan.

(i)  Membuat olahan yang menarik untuk mengutarakan isu soalan
(ii)  Mengemukakan tema yang tepat (rujuk konsep tema dalam siri yang lalu)
(iii)  Mesti membuat pernyataan tentang fokus isi jawapan seperti yang diarahkan dalam soalan.

B .  Teknik Menggayakan Olahan Isu

     Teknik menggayakan isu atau yang lazim disebut oleh pelajar sebagai 'intro' ialah teknik terbaik untuk menampilkan idea. Langkah ini penting agar dapat memberikan sentuhan awal yang menarik kepada pemeriksa. Dengan perkataan yang lain, apabila pemeriksa selesai membaca pendahuluan, beliau sudah boleh membuat tanggapan awal tentang isu yang akan dibincangkan nanti.

     Secara lazim terdapat pelbagai gaya untuk memperoleh pendahuluan yang manarik. Gaya/teknik memulakan pendahuluan tersebut adalah seperti yang berikut ini:

(i)  Teknik olahan untuk menimbulkan sesuatu gambaran
(ii)  Teknik rujukan/memetik sesuatu pernyataan yang boleh dihubungkaitkan dengan isu dan tema soalan.  Terdapat banyak unsur petikan yang boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan pendahuluan yang menarik. Petikan boleh diambil daripada pendapat tokoh, pernyataan seperti ayat-ayat suci al Quran, Hadith, kata-kata tokoh, dan sebarang pernyataan yang boleh dianggapkan sebagai kata-kata hikmat.
(iii)  Teknik membuat definisi
(iv)  Teknik rujukan daripada sumber sejarah dan banyak lagi. Pendek kata pelbagai cara yang boleh digayakan oleh calon untuk

    Sila perhatikan sampel pendahuluan di bawah - RUJUK MODUL MS 45

SOALAN : Melayari laman bersembang, SMS, MMS, permainan video, dan keluar malam adalah antara kegiatan negatif paling digemari remaja masa kini. Sebagai remaja, anda sedar aktiviti seperti ini amat merugikan.

Ulaskan pendapat anda tentang punca-punca gejala ini dan kesannya.

Sampel pendahuluan :   Setiap perubahan tentang gaya hidup amat berkait dengan perubahan dalam bidang teknologi dan perubahan dalam gaya berfikir. Apabila dunia mula menginjak perubahan berdasarkan kuasa teknologi dan komunikasi, justeru trend manusia pun turut berubah. Jikalau dalam dekad awal pascaPerang Dunia, corak hidup lebih berfokus kepada mempertingkatkan daya saing ekonomi, justeru ilmu pengetahuanlah yang menjadi agenda terpenting. Sebaliknya, selepas lima dekad manusia mula meneroka pelbagai teknologi, justeru pengaruh teknologi benar-benar memberikan kesan terhadap corak berfikir dan bekerja. Antara capaian yang terpenting ialah teknologi digital dan komunikasi. Pelbagai sesawang dan rangkaian berjaya dipacu untuk menjadikan dunia tanpa sempadan lebih canggih. Namun, di sebalik pelbagai kemajuan, tidak kurang juga gejala negatif mula melanda terutama dalam kalangan generasi muda. Pada hari ini wabak kegilaan berkomunikasi dengan pelbagai kemudahan internet dan telekomunikasi yang menyerang remaja semakin merungsingkan ramai pihak. Bahana ini sudahlah pasti timbul daripada pelbagai kerenah dan akhirnya menimbulkan pelbagai kesan negatif pula.

Ulasan tentang teknik pendahuluan di atas :  Teknik pendahuluan ini adalah dari jenis gambaran semasa. Gambaran yang diambil adalah daripada situasi semasa yang diwarnai perubahan dalam teknologi komunikasi.

SEKIAN UNTUK SIRI INI. KITA BERJUMPA DALAM SIRI YANG AKAN DATANG

Friday, February 18, 2011

SIRI 2 : SOALAN KARANGAN

MENTAFSIR SOALAN KARANGAN  

     Seperti yang anda maklum, soalan karangan terbahagi kepada 5 dimensi (rujuk siri 1). Binaan soalan dibuat berdasarkan 4 asas seperti yang berikut ini

*  dimensi
*  isu
*  tema
*  fokus isi jawapan

     Sebelum membuat keputusan untuk memilih mana-mana soalan, pelajar (calon) hendaklah membuat pertimbangan yang wajar dengan merujuk keempat-empat asas di atas. Panduan tentang aspek-aspek di atas telah dibincangkan dalam siri yang lalu (siri 1). Berpandukan soalan di bawah, cuba kita analisiskan komponen soalan berdasarkan 4 asas yang dinyatakan di atas,


SOALAN :
Anak-anak degil, malas belajar, dan tiada matlamat hidup adalah antara cabaran getir kepada ibu bapa pada zaman ini. Oleh itu, ibu bapa perlu menghadapii gejala ini dengan penuh bijaksana untuk membimbing anak-anak ke jalan yang benar.

Beri komen anda tentang faktor-faktor yang mendorong gejala ini dan bincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.

Analisis komponen soalan :
Dimensi :  Keluarga
Isu :           Anak-anak/remaja
Tema :      Anak-anak degil, malas belajar, dan tiada matlamat hidup yang menjadi   
                   cabaran kepada ibu bapa
Fokus isi jawapan :
  
                           Fokus 1 - Faktor-faktor atau punca-punca
                           Fokus 2 - Usaha-usaha atau langkah-langkah menangani gejala tersebut

(Anda boleh  membuat rujukan skema isi untuk soalan ini dalam muka surat 56 Modul Pembelajaran Kendiri).


NOTA :  SIRI BERIKUTNYA TENTANG TEKNIK APLIKASI PENDAHULUAN KARANGAN




SIRI 1 : EDISI BIMBINGAN TERANCANG TEKNIK MENGARANG




KONSEP-KONSEP KARANGAN SPM - (Rujuk Modul m/s 7)


NOTA PENTING KARANGAN B

1.0    KONSEP KARANGAN : Karangan boleh didefinisikan sebagai seni menyampaikan idea yang bernas dengan perantaraan bahasa yang kemas, tersusun serta menepati ciri-ciri hukum tatabahasa. Pelbagai ragam dan laras bahasa penting untuk diadunkan ketika menulis karangan. Hal ini penting untuk membangkitkan kesan yang mendalam terhadap idea dan hujah yang bakal disampaikan.


2.0    SOALAN KARANGAN : Soalan karangan dipecahkan kepada 5 dimensi atau bidang. Lima (5) dimensi itu adalah seperti yang berikut ini:

Soalan 1 – Dimensi diri (individu)
Soalan 2 – Dimensi keluarga
Soalan 3 – Dimensi masyarakat dan negara
Soalan 4 – Dimensi antarabangsa (global)
Soalan 5 – Unsur sastera


3.0    STANDARD KUALITI KARANGAN CEMERLANG

      3.1        Menepati dengan kehendak isu dan tema
      3.2        Berbentuk karangan panjang yang dibina dalam 7 perenggan

*      pendahuluan
*      isi ( 5 isi yang lengkap dengan huraian)
*      kesimpulan (penutup)

3.3        Panjang antara 550 – 700 patah perkataan

4.0  KOMPONEN PENTING DALAM SOALAN
Komponen
Konsep/definisi
Isu
- Gagasan atau wahana atau topik perbincangan semasa
Tema
- Isu teras atau pokok perbincangan utama yang menjadi dasar soalan
Skop
- Lingkungan isu penting yang dikehendaki oleh soalan berpandukan  
  tema yang diberi
Fokus
- Hala tuju jawapan yang boleh disifatkan sebagai arahan soalan
Isi Utama
- Idea besar atau pemikiran pokok atau fakta atau pemikiran dasar    
  yang perlu dikaitkan kepada tema dan fokus isi jawapan

Thursday, February 10, 2011

PROFIL DIRI - HAJI ISHAK BIN MD SHAH

  HAJI ISHAK BIN MD SHAH 

ASAL : PULAU LANGKAWI KEDAH DARUL AMAN
KELULUSAN : BACELOR PENDIDIKAN PBMP (UPM 1991)
IKTISAS : MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS TANJUNG MALIM 1976/77
BERTUGAS : SM TEKNIK ALOR SETAR, LEBUHRAYA SULTAN ABDUL HALIM, KEDAH

AKTIVITI LUAR SEKOLAH  :
  
1 PENCERAMAH TEKNIK MENGARANG UTK PELAJAR-PELAJAR SPM
2 PENULIS BUKU-BUKU CONTOH JAWAPAN KARANGAN DAN KERTAS 2 DENGAN SASBADI
3 IMAM SURAU
4 MENGASUH CUCU

BOLEH DIHUBUNGI :

27 LORONG TEKNIK
LBR SULTAN ABDUL HALIM
05400 ALOR SETAR
KEDAH DARUL AMAN

TELEFON : 019 4789803

MODUL PEMBELAJARAN KENDIRI EDISI 2011

   ISI KANDUNGAN MODUL

Kandungan modul dibahagikan seperti pecahan berikut:

Bahagian A : Strategi mengarang karangan A dengan 7 soalan latihan
Bahagian B : Strategi mengarang karangan B 
Bahagian C : 17 sampel karangan terpilih dalam skala markah A (90% ke atas)
Bahagian D : 40 soalan kemahiran kendiri pelbagai dimensi yang lengkap berskema
Bahagian E : Koleksi peribahasa, kata-kata hikmat dan kosa kata berprofil tinggi

Soalan-soalan Berskema:
Bersama-sama ini diturunkan soalan yang terdapat dalam Bahagian D kandungan modul. Walau bagaimanapun, soalan yang diberi tidak disertakan dengan skema. Soalan yang lengkap berskema hanya boleh didapati di dalam modul sahaja. Sila hubungi saya melalui telefon 019 4789803 untuk membuat tempahan modul.

DIMENSI DIRI

1.  Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi pekerjaan tersebut.

Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.

Soalan 2 : Melayari laman bersembang, SMS, MMS, permainan video, dan keluar malam adalah antara kegiatan negatif paling digemari remaja masa kini. Sebagai remaja, anda sedar aktiviti seperti ini amat merugikan.

Ulaskan pendapat anda tentang punca-punca gejala ini dan kesannya.

Soalan 3 : Aktiviti luar seperti mendaki gunung, meredah belantara, dan mengharung ombak semakin mendapat sambutan dalam kalangan remaja. Aktiviti seumpama itu mendatangkan pelbagai impak positif kepada remaja.

Sebagai remaja, mengapakah anda berminat menyertai aktiviti seperti itu?


Soalan 4 : Gejala kurang menghormati guru dan orang yang lebih tua semakin menular dalam kalangan remaja. Sebagai pelajar, anda berasa kurang senang dengan fenomena seperti ini.

Tulis sebuah rencana yang memaparkan punca-punca gejala ini serta langkah-langkah menanganinya untuk disiarkan dalam sebuah majalah pendidik.


Soalan 5 : Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat membina sifat kepimpinan, disiplin diri yang tinggi, perpaduan dan pelbagai sifat yang positif dalam kalangan pelajar

Ulaskan pernyataan di atas. (rujuk buku saya, Target Pro Sasbadi  ms 319)


Soalan 6 : Anda peserta dalam suatu kem bina insan yang baharu sahaja selesai. Semasa latihan anda telah memperoleh pelbagai manfaat daripada modul kursus yang disediakan.

Kongsikan pengalaman anda itu dengan rakan-rakan di sekolah.


Soalan 7  :  Kampung anda berpotensi menjadi sebuah kawasan pelancongan yang menarik dan terkenal. Anda bercadang untuk menulis surat kepada pihak yang berkenaan menyatakan keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di kampung anda dan cadangan-cadangan bagi menjadikan kampung tersebut sebagai destinasi pelancongan yang terkenal.

Tulis surat itu selengkapnya.

Soalan 8 : “Remaja Hari Ini Boros”

Ulaskan.


Soalan 9 :  Atas kegigihan dan dedikasi ibu bapa, anda kini telah menjadi insan yang benar-benar berjaya.

Cadangkan beberapa langkah yang bakal anda lakukan sebagai menghargai jasa mereka terutama ketika menjelang usia emas.


DIMENSI KELUARGA

Soalan 1  :  Isu pembuangan bayi yang bagaikan tiada penghujung menunjukkan institusi keluarga kini semakin goyah. Keluarga sepatutnya lebih peka dengan masalah ini agar dapat mendidik anak-anak remaja ke jalan yang benar.

Bincangkan peranan setiap ahli keluarga.


Soalan 2 :             Kemelesetan ekonomi memberi kesan kepada negara dan mendatangkan masalah kepada keluarga. Jelaskan langkah-langkah untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi krisis tersebut.

Jelaskan langkah-langkah untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi krisis tersebut.


Soalan 3 :  Teknologi siber kini telah maju. Ibu bapa berperanan penting dalam mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet tanpa berasa risau dan bimbang.

Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak memanfaatkan internet dalam kehidupan seharian.


Soalan 4 : Keharmonian keluarga melahirkan anak-anak yang berjaya dalam kehidupan.

Ulaskan pernyataan di atas.


Soalan 5 :  Minat dan bakat dalam kalangan anak-anak lazimnya tidak sama. Oleh yang demikian, ibu bapa harus bertanggungjawab untuk memperkembangkan bakat anak-anak.

Nyatakan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memperkembangkan potensi anak-anak.


Soalan 6 :  Aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan.

Ulas pernyataan di atas.


Soalan 7 :  Anak degil, malas belajar, dan gila akan hiburan adalah antara fenomena yang sedang melanda institusi keluarga pada masa ini.

Bincangkan faktor-faktor yang mendorong gejala ini serta beri cadangan tentang usaha-usaha yang boleh dimainkan oleh ibu bapa.


Soalan 8 :  Anak-anak remaja hari ini dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke dapur telah menjadi warisan turun-temurun.

Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.



DIMENSI MASYARAKAT/NEGARA

Soalan 1 :  Akhbar, majalah, dan media elektronik amat berpengaruh dalam membentuk minda rakyat.

Tulis sebuah rencana yang membincangkan peranan rangkaian media-media tersebut dalam membentuk sikap rakyat yang positif


Soalan 2 :  Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi kemalangan jalan raya, namun kadar kemalangan terus meningkat. Oleh itu, ada cadangan supaya Kurikulum Keselamatan Jalan raya diajarkan di sekolah.

Tulis komen anda tentang kewajaran cadangan tersebut.


Soalan 3 :  Menurut kajian kadar obesiti (kegemukan) dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan. Hal demikian boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada masyarakat dan negara.

Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan buruk serta langkah-langkah untuk membendung gejala tersebut.


Soalan 4 :  Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.

Bincangkan pendapat anda tentang faedah yang bakal diperoleh remaja dengan pelaksanaan dasar tersebut.


Soalan 5 :  Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris MBMMBI, adalah suatu langkah bijak untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu bersaing sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Bincangkan peranan masyarakat Malaysia untuk mencapai matlamat tersebut.


Soalan 6 :  Kesedaran sivik adalah suatu aspek yang penting dalam kehidupan, lebih-lebih lagi kepada sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia.  Malangnya sikap ini semakin luntur dalam kalangan masyarakat.

Huraikan punca-punca wujudnya keadaan ini dan langkah-langkah yang diambil untuk menyuburkan kesedaran sivik.


Soalan 7 :  Pengetahuan tentang sejarah dikatakan teras kepada pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Malangnya sejak akhir-akhir ini sindrom buta sejarah telah melanda generasi muda.

Ulaskan pendapat anda tentang kewajaran kerajaan mewajibkan lulus sejarah pada peringkat SPM.


Soalan 8 :  Sektor pelancongan mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk memajukan sektor tersebut.


Soalan 9 :  Anda telah mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah, “Masyarakat Bersih Negara Sejahtera”.

Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.


Soalan 10 :  Amalan lama seperti budaya tegur-menegur dalam kalangan masyarakat hendaklah disuburkan semula.

Huraikan langkah-langkah untuk mengembalikan budaya tersebut dan kebaikannya.


Soalan 11 :  Keghairahan manusia meneroka sumber alam akan mencetuskan risiko malapetaka dan bencana alam.

Bincangkan.


Soalan 12 :  Golongan wanita sentiasa dianggap sebagai tiang seri negara dan penyumbang kepada kejayaan lelaki. Sumbangan wanita terhadap kemajuan negara bukanlah kecil.

Tulis sebuah rencana yang membincangkan sumbangan wanita terhadap negara.


Soalan 13 :  Kejadian penculikan, penderaan, dan pembunuhan dalam kalangan kanak-kanak yang semakin serius merupakan akibat ketidakperihatinan masyarakat terhadap hal-hal persekitarannya.

Bincangkan langkah-langkah yang berkesan untuk menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.


Soalan 14 : Penularan jenayah ragut dan samun jalanan telah menimbulkan pelbagai implikasi sosial. Anda ingin menulis sebuah rencana tentang isu tersebut dengan memberi tumpuan kepada kesan-kesan jenayah ragut dan langkah-langkah untuk menanganinya.

Tulis rencana anda itu.


Soalan 15 :  Masalah gejala sosial dan ancaman keselamatan daripada pendatang asing semakin membimbangkan. Krisis ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Bincangkan langkah-langkah berkesan yang boleh disumbangkan oleh semua pihak untuk menangani gejala.


DIMENSI GLOBAL

Soalan 1 : Setelah lebih 50 tahun merdeka, Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara membangun dalam pelbagai bidang dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.


Soalan 2 :  Malaysia sentiasa prihatin terhadap bencana yang menimpa warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa. Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia begitu prihatin?

Tulis pendapat anda itu.


Soalan 3 :  Hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau dan antarabangsa adalah amat penting.

Ulaskan pendapat anda tentang kepentingan Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik


Soalan 4 :  Peperangan, kezaliman, dan penindasan yang menimpa warga dunia semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Anda berpendapat terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada amalan buruk tersebut.

Tulis pendapat anda tentang faktor-faktor yang mendorong berlaku peristiwa tersebut dan cadangkan langkah-langkah yang boleh dijalankan oleh warga dunia.


Soalan 5 :  Program pertukaran pelajar antara negara mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar dan negara yang menyertainya.

Bincangkan.

Soalan 6 :  Pelancong-pelancong seluruh dunia mula menjadikan Malaysia dan negara Asia Tenggara sebagai destinasi  pelancongan pilihan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa negara-negara tersebut telah berupaya menawarkan produk pelancongan yang berupaya menarik kemasukan pelancong-pelancong antarabangsa.

Jelaskan sumbangan industri pelancongan terhadap negara-negara berkenaan.


UNSUR SASTERA

SOALAN 1 :  Dalam menghasilkan sesebuah karya kreatif, pengarang sentiasa mempertimbangkan beberapa aspek penting untuk menghasilkan sebuah hasil karya yang menarik.

Sebagai pengarang, kemukakan aspek-aspek yang menjadi keutamaan anda.


Soalan 2 :  Pengenalan KOMSAS dalam subjek bahasa di sekolah dikatakan kurang berkesan

Ulaskan kenyataan di atas.


Soalan 3 :  Terdapat pelbagai faedah yang anda peroleh apabila mengkaji sesebuah hasil karya kreatif.

Bincangkan beberapa faedah yang bakal diperoleh.


Soalan 4 :  Pengajaran subjek KOMSAS  di sekolah boleh dijadikan subjek yang menarik

Bincangkan langkah-langkah yang boleh digunakan untuk menjadikan KOMSAS lebih menarik.

KITA BERTEMU LAGI DALAM EDISI YANG AKAN DATANG. USAHA INI SEKADAR SUMBANGAN KECIL UNTUK KEMUDAHAN P&P ANDA DAN DEMI KECEMERLANGAN ANAK-ANAK DIDIK