Sunday, August 21, 2011

ARAS KARANGAN UNTUK MARKAH CEMERLANG A+

    Sebagai mukadimah dalam pertemuan kita pada minggu ini, saya ingin mengundangi anda meneliti sebuah sampel karangan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan cemerlang. Karangan tersebut dengan wajaran markah melebihi 90%.

   Aspek kekuatan yang ada pada karangan tersebut adalah dalam perkara penguasaan bahasa, kematangan fikiran, ketepatan fakta dan hujah, dan pengolahan yang menarik. Seyogia, pelajar diseru meniru gaya mengarang seperti itu agar anda mampu meraih markah yang terbaik dalam peperiksaan SPM nanti. Karangan yang saya maksudkan ialah sampel jawapan daripada soalan SPM 2010. Sila telitikan karangan yang saya lampirkan di bawah ini. 


Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat .



Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.





Memetik kata-kata daripada peribahasa Arab yang bermaksud , “Syurga itu dibawah telapak kaki ibu” membuktikan keredaan hidup seseorang anak adalah dengan reda ibunya. Maksud yang sama juga dapat dipetik daripada maksud Hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Reda Allah hendaklah dengan reda daripada ibu bapa”.  Oleh hal yang demikian, hasrat seseorang anak yang mahu memperoleh keredaan Tuhan sama ada di dunia mahupun di akhirat hendaklah terlebih dahulu memperoleh keredaan daripada ibu mereka. Namun demikian, situasi masa kini memaparkan keadaan di sebaliknya apabila ramai warga emas yang terbiar terlantar dengan jelas menunjukkan sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka semakin menjadi-jadi. Inilah tempelakan seperti kacang melupakan kulit yang menunjukkan rasa tanggungjawab dan sikap membalas budi anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua semakin memupus.  Sewajarnya hal yang sedemikian tidak berlaku, malahan  anak-anak dituntut melaksanakan tanggungjawab yang sebaik mungkin terhadap ibu dan bapa mereka.



                Dipetik daripada sebuah rencana dalam akhbar Utusan Melayu pada 26 Mei 2009 bertajuk “Di mana Nilainya Warga Emas?”, memaparkan suatu keadaan yang sangat menyedihkan apabila 100 000 warga emas yang hidup terpinggir dengan 95 000 daripadanya hidup secara bersendirian. Inilah fenomena menjelang abad milenium apabila induk semakin terpisah daripada generasinya. Implikasi buruk yang bakal berlaku ialah terpampang di hadapan mata kita anak-anak yang tidak tahu membalas budi, sombong dan masyarakat yang porak peranda. Inilah ironi kononnya rakyat Malaysia yang sangat kaya dengan budi bahasa dan sopan santun tetapi induk darah daging sendiri terbiar.



                Sebagai anak yang tahu harga diri, kita wajar menjaga maruah diri dan maruah ibu bapa. Jangankan ibu bapa sudah sampai pada usia warga emas, namun dalam setiap keadaan maruah mereka perlu dijaga. Sebaliknya pada hari ini terdapat begitu ramai anak-anak yang menjadi samseng jalanan, penagih dadah, dan gila seks sedang menular di tengah-tengah masyarakat. Anak-anak sewajarnya kembali ke pangkal jalan. Pilihlah jalan hidup yang diredai dengan berpegang kepada pedoman agama, adat budaya dan pantang larang. Akibat meminggirkan gaya hidup yang berteraskan nilai-nilai sejati insani akhirnya disiplin, akhlak dan budi bahasa tidak dipedulikan. Hancurlah hati ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan. Oleh itu, sebagai anak yang tahu akan nilai keinsanan tunjukkanlah sifat berbudi bahasa yang mudah disenangi mata yang memandang dan menjadi halwa telinga kepada ibu bapa kerana mengenal getah batang lihatlah kepada daunnya.



                Selagi ada hayat mereka di dunia penuhilah hasrat mereka yang ingin melihat anak-anak berjaya di dunia dan memperoleh reda Allah di akhirat. Jalan yang terbaik ialah setiap anak hendaklah menyimpan azam untuk berjaya dalam pelajaran, halus budi pekertinya dan menyerlah dalam kerjayanya. Setelah meninggal dunia, ibu bapa sangat mengharapkan anak-anak seumpama ini yang mendoakan kesejahteraan mereka. Jadilah anak-anak yang baik sesuai dengan maksud Hadith Rasulullah, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah segala amalnya di dunia ini melainkan tiga perkara. Ketiga-tiganya ialah sedekah yang dijariahi, ilmu bermanfaat yang disampaikan, dan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.



                Kasih sayang boleh diibaratkan seperti tali yang sentiasa bersambung dan tidak pernah putus. Oleh itu, sebagai anak yang memiliki pekerti mulia, jangan sama sekali diputuskan silaturahim sesama adik beradik, kaum keluarga serta handai dan taulan yang telah dijalinkan oleh ibu bapa. Sama ada ibu bapa masih hidup atau sudah tiada, anak-anak amat dituntut untuk memperluas rangkaian silaturahim. Amalan tersebut bukan sahaja untuk memperkukuh jalinan keluarga malah dapat membentuk sebuah masyarakat yang damai dan harmonis. Sekiranya ada jemputan seperti ke majlis kenduri kendara, menjenguk kesakitan dan menziarahi kematian, eloklah anak-anak turut bersama-sama ibu bapa atau pun menjadi wakil kepada ibu bapa sekiranya mereka sudah uzur. Sesungguhnya, amalan seperti ini menepati falsafah hidup sandar-menyandar ibarat aur dengan tebing.  



                Saat yang paling kritikal kepada ibu bapa apabila mereka sudah mencecah usia emas dan mula dirundung sakit atau uzur. Ramai anak-anak yang memberi alasan sibuk, keengganan ibu bapa tinggal bersama-sama, dan pelbagai lagi dengan seribu satu alasan. Semuanya bertujuan untuk mengalih perhatian agar dapat mengelak daripada menjaga ibu bapa. Pada kala ini tepat sangatlah dengan ungkapan di atas iaitu, “Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu”. Sebaliknya sebagai anak yang tahu harga budi dan diri, inilah peluang terbaik untuk mereka membalas jasa ibu bapa. Bertepatan dengan nasihat Nabi SAW kepada seorang sahabatnya yang telah mengendung ibunya kerana bertawaf di sekeliling Kaabah, bahawa jikalau sahabat tersebut memberikan nyawanya sekalipun dia belum boleh menggantikan pengorbanan si ibu kepadanya. Walau seberapa ramai sekalipun adik beradik, seseorang itu hendaklah berasa dialah yang paling bertuah sekiranya berpeluang menjaga ibu bapa terutama sekali pada saat-saat nazak untuk menyahut panggilan Tuhan. Insya-Allah segala pengorbanan anak pada waktu itu akan diganjari Allah pahala yang amat besar dan segala dosanya terhadap kedua-dua ibu bapa akan diampunkan.

                Demikianlah maksud ungkapan, kasih ibu sepanjang hayat, kasih bapa berkorban jiwa, dan kasih saudara sewaktu berada. Kasih sayang ibu bapa tiada tukar ganti walaupun nilainya segunung emas dan permata. Oleh itu, berbuatlah baiklah kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup dan kirimilah doa setelah mereka pergi buat selama-lamanya.





(PERLU DIINGAT! KARANGAN INI MILIK PERIBADI SAYA YANG SAYA TULIS UNTUK MEMBIMBING PARA PELAJAR YANG BERMINAT. SEBARANG USAHA UNTUK MENCIPLAK DAN MENERBITKAN SEMULA KARANGAN INI ADALAH AMAT MENDUKACITAKAN SAYA)

PERHATIAN : Sila dapatkan 17 sampel karangan lagi dalam kategori yang sama dengan memesan modul saya: MODUL PEMBELAJARAN KENDIRI YANG BERKULIT BIRU. SILA HUBUNGI;

ISHAK BIN  MD SHAH
019 4789803.







Wednesday, August 17, 2011

TUISYEN : TEKNIK MENGOLAH ISI KARANGAN

    Boleh dikatakan 90% pelajar yang saya temui ketika memberi ceramah, rata-rata memberitahu mereka terlalu payah untuk membuat olahan isi karangan. Jikalau mampu pun sekadar 2 atau 3 ayat sahaja. Malahan isi yang diolah menjadi separuh masak kerana gagal menjawab kehendak tema dan fokus isi. Ikuti perbualan di bawah ini:

Soal  : Selepas mengemukakan ayat khusus untuk isi utama, apakah cara yang mudah untuk saya membuka ayat huraian yang pertama?

Jawab  :  Berdasarkan aplikasi 1H + 4W anda dinasihati memilih teknik WHY terlebih dahulu untuk membuat olahan. Teknik WHY amat mudah kerana menjadi lazim dalam pertuturan semasa.  Lihat contoh di bawah;

    (IU) Signifikan paling utama program IM1S (1 murid 1 sukan) adalah dapat melahirkan remaja yang sentiasa sihat, cergas, dan cerdas.

Dengan menggunakan WHY, kita boleh bertanya, mengapakah dapat melahirkan remaja yang sihat, cergas, dan cerdas? H1 - Jawapannya tentulah program tersebut memberi peluang yang seluas-luasnya untuk remaja bergiat aktif dalam pelbagai program sukan.

  Sekarang olahan tersebut sekurang-kurangnya jadi begini:

Signifikan paling utama program IM1S (1 murid 1 sukan) adalah dapat melahirkan remaja yang sentiasa sihat, cergas, dan cerdas. Hal ini demikian kerana, program tersebut memberi peluang yang seluas-luasnya untuk remaja bergiat aktif dalam pelbagai acara sukan. 

Sekarang cuba anda selesaikan perenggan ini dengan rangka ayat-ayat olahan seperti di bawah ini:

H2 - WHY Peluang tersebut disokong dengan adanya perancangan yang teliti serta dilaksanakan ............?
H3 - WHAT Perancangan tersebut seperti menyediakan prasarana sukan yang lengkap, guru-guru yang terlatih, dan .......
H4 -  HOW Oleh itu, semua kegiatan sukan  diselaraskan dengan cara mengenal pasti bidang-bidang yang tertentu sesuai dengan .......
Tutup perenggan (tutup wacana perenggan) - Sesungguhnya, program 1M1S seandainya berjaya dilaksanakan seperti yang dirancangkan sudah pasti dapat melahirkan generasi masa depan yang sihat, aktif serta produktif.

AYUH, KITA BERHENTI DI SINI. CIKGU CADANGKAN ANDA MENCUBA SENDIRI UNTUK MELENGKAPKAN PERENGGAN INI. DALAM SIRI YANG AKAN DATANG CIKGU AKAN BERI CONTOH LENGKAP PERENGGAN INI. ANDA BOLEH BANDINGKAN NANTI.






Thursday, August 11, 2011

TUISYEN ISI KARANGAN

Soalan  :  Sebaik-baiknya berapa panjangkah setiap isi karangan dalam setiap perenggan?

Jawab  :  Jumlah yang strategik adalah antara 100 hingga 120 patah perkataan.

Soalan  :  Bagaimanakah caranya saya boleh membuat olahan untuk memperoleh jumlah perkataan seperti yang tersebut?

Jawab  :  Anda dinasihatkan menggunakan formula seperti di bawah:

              1: 5: 1 > hal tersebut, calon perlu mengemukakan satu ayat lengkap untuk isi utama (IU). Selepas itu calon hendaklah mengolahkan IU tersebut dalam 5 ayat lagi. 5 ayat tersebut hendaklah diolah dengan jalinan 1H + 4W yang sering diajarkan oleh guru-guru di dalam kelas. Sebelum bergerak keluar kepada isi seterusnya, pelajar/calon hendaklah mengemaskan perenggannya dengan satu ayat lagi iaitu ayat penutup perenggan atau pelengkap wacana. Sekiranya calon mematuhi betul-betul formula ini sudah pasti jumlah 100 hingga 120 pp itu tidak menjadi masalah.

Soalan  :  Bagaimanakah  bentuk olahan isi yang tidak menarik?

Jawab  :  Olahan isi yang tidak menarik berpunca daripada beberapa faktor seperti  berikut ini:

             (a)  Isi Utama tidak jelas dan tidak pasti kedudukannya dalam perenggan tersebut
             (b)  Jalinan olahan tidak mengambil kira jalinan dalam formula 1H + 4W
             (c)  Pelengkap wacana gagal mengesahkan fungsi dalam IU
             (d)  Ayat olahan yang sedikit dan terlalu ringkas
             (e)  Tiada bukti dan hujah sokongan

Monday, August 8, 2011

TUISYEN KARANGAN

Soalan  :  Saya sangat berminat untuk menggunakan sumber rujukan untuk memulakan pendahuluan. Bagaimanakah cara untuk membuat aplikasi sumber-sumber rujukan?


Jawab  :  Sumber rujukan adalah antara input yang menarik dan sesuai untuk dijadikan bahan dalam pendahuluan karangan. Sumber-sumber tersebut seperti kata-kata hikmat, ucapan pemimpin, sedutan daripada maksud ayat al Quran, Hadith, kata pujangga, peribahasa, pantun, kiasan, sumber iklan, dan slogan. Pelajar hendaklah bijak memilih sumber rujukan tersebut agar menepati dengan mode soalan.

    Setelah jelas tentang konsep dan kesesuaiannya, pelajar boleh membuat aplikasi secara 'qoutation' atau menyerapkan terus ke dalam ayat. Sekiranya membuat quatation, lebih sempurna diberikan maksud terlebih dahulu. Lihat contoh;

1.  Mantan Presiden Indonesia iaitu Sukarno pernah menyuntik semangat juang rakyat Indonesia dengan kata-kata, "Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu di perlimbahan". Kata-kata tersebut telah berjaya.....

2.  "Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu di perlimbahan". Demikianlah suatu kalimat keramat yang pernah ditiupkan oleh Mantan Presiden Indonesia iaitu Bung Karni kepada rakyat Indonesia. Seruan tersebut telah berjaya ....

SELAMAT MENCUBA DENGAN TEKNIK YANG LAIN. ESOK BICARA ISI KARANGAN PULA



Thursday, August 4, 2011

SELAMAT BERPUASA - TUISYEN KARANGAN

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas limpah kurnia Allah kerana saya dan anda diberi peluang merasai kenikmatan Ramadhah. Nikmat yang tiada tolok bandingnya yang sukar dilafaz dengan kata-kata namun nur dan cahaya iman sahaja yang boleh melihat dengan mata hati akan kehebatan anugerah Allah. Barakallah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,
    Setelah beberapa banyak sampel dan panduan saya berikan, saya yakin banyak perkara yang telah disampaikan kepada anak-anak didik kita. Dalam ruangan yang terhad ini, saya mengambil peluang untuk memberikan khidmat tuisyen (aktiviti soal jawab) tentang panduan untuk menulis karangan pula.

Soalan : Untuk memperoleh sebuah pendahuluan yang cemerlang, apakah aspek penting yang perlu saya tekankan?


Jawab : Anda hendaklah terlebih menguasai mode dan laras pada soalan yang hendak dijawab. Adakah soalan itu dalam mode yang sentimental, patriotik, ehwal semasa, kasih sayang dan sebagainya? Setelah itu, pilih suatu gaya olahan isu yang benar-benar 'ummph' dengan mode soalan tersebut. Olahan isu hendaklah benar-benar menarik agar dapat  memikat pembaca (pemeriksa). Oleh itu, pemilihan teknik hendaklah betul-betul tepat. Setelah membuat olahan isu, masukkan pula tema soalan. Tema hendak dibina dalam  ayat yang lengkap dan tersusun. Kegagalan memasukkan tema boleh menyebabkan pendahuluan tersebut hilang arah dan pemeriksa tidak tahu tentang perkara yang hendak dibincangkan. 
    Seterusnya, pendahuluan anda hendaklah disempurnakan dengan pernyataan ayat fokus yang cukup jelas. Ayat fokus boleh dikenal pasti daripada arahan soalan (spt. > bincangkan faktor-faktor atau cadangkan langkah-langkah atau kemukakan kesannya dan lain-lain lagi)


Soalan :  Sekiranya saya terlupa menulis ayat fokus di akhir pendahuluan, di manakah tempat yang sesuai untuk saya tulis?
Jawab :  Ayat fokus boleh ditulis juga pada permulaan ayat isi utama. Pada kedudukan tersebut kesinambungan pendahuluan dengan olahan masih belum terputus. Namun demikian, dinasihatkan supaya ayat fokus diletak dalam pendahuluan agar anda tidak keliru.

SIRI AKAN DATANG > Sampel komponen utama dalam pengenalan.

ANDA MENGHADAPI MASALAH MENYEDIAKAN BAHAN ULANG KAJI INTENSIF UNTUK KARANGAN?
SILA DAPATKAN  MODUL LENGKAP TEKNIK MENGARANG YANG SAYA SEDIAKAN SEPERTI DI BAWAH


HUBUNGI SAYA;

ISHAK BIN MD SHAH

TEL. 0194789803