Saturday, March 2, 2013

PANDUAN MENGARANG

Assalamualaikum/salam sejahtera,

Saya mohon maaf kerana terpaksa menyepi agak lama. Penyepian yang yang berkaitan dengan kesibukan kerana pada setiap hujung minggu terpaksa memenuhi undangan rakan-rakan guru untuk menyampaikan ceramah. Dalam pada itu, mata kiri saya hampir kabur dan terpaksa dibuang selaput, mengikut kata doktor. Saya merayu rakan2 peminat blog saya mendoakan agar masalah ini segera sembuh untuk membolehkan saya kembali aktif.

Dalam siri kali ini saya akan membimbing tentang cara-cara membuat olahan isi karangan. Bahan yang saya lampirkan dalam ruangan ini diambil daripada modul saya dalam muka surat 15 - 16 (sila rujuk bagi sesiapa yang ada).

SOALAN :

Anda bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Bincangkan persediaan yang perlu anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda itu.

PENDAHULUAN:

Olahan isu soalan ini menggunakan teknik petikan @ rujukan sumber yang berkaitan dengan tema soalan. Petikan yang diambil adalah daripada kata-kata mantan Presiden Indonesia (Sukarno) tentang maksud cita-cita. Lihat contoh lengkap pendahuluannya;


     Berpandukan kata-kata mantan Presiden Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu mencecah perlimbahan” membuktkan bahawa kita hendaklah meletakkan impian yang tinggi seandainya mahu mencapai kejayaan. Cita-cita menjadi pandu arah dan kompas matlamat hidup. Cita-cita hendaklah disemai ketika usia muda dan terus dipupuk sehingga berjaya. Melihatkan kejayaan golongan korporat dan usahawan, saya sangat teruja untuk menjadi seorang usahawan dan membina sebuah empayar perniagaan sebaik tamat pengajian. Namun begitu, saya sedar impian tersebut bukanlah mudah untuk dicapai. Oleh itu, persediaan yang rapi hendaklah saya mulakan dari sekarang. Saya yakin sekiranya saya bersedia dari sekarang, insya-Allah semua impian akan menjadi kenyataan.


Isi karangan :

Isi karangan disusun mengikut pemeringkatan dengan ISI UTAMA (IU) dijadikan induk kepada perkembangan idea yang seterusnya ataupun yang disebut sebagai huraian. Sementara itu, semua ayat huraian menggunakan formula 1 + 4 + 1 = 6 ayat dalam setiap satu perenggan isi. Sila ikuti setiap isi yang disusun untuk panduan anda membuat huraian.

Isi 1:


Ayat Isi Utama/Ayat Judul :-  Saya sedar untuk berjaya sebagai seorang usahawan, saya hendaklah menanamkan cita-cita untuk berjaya dalam bidang yang dihajati sejak kecil...........
 
Isi-isi sokongan : 

H1 :  penanda wacana amatlah penting kerana untuk berjaya kita perlu mempunyai hala
         tuju yang jelas.
H2 : Saya sangat akur dengan hakikat bahawa hidup tanpa cita-cita ibarat ......................................................................................................(masuk peribahasa yang sesuai)
H3 : penanda wacana merealisasikan cita-cita murni itu, saya hendaklah sentiasa mengikuti   
       perkembangan ikon-ikon yang telah berjaya dalam bidang berkenaan
H4 : penanda wacana dimakbulkan Tuhan, saya bercita-cita untuk menjadi usahawan dalam
        bidang ........................ (masukkan cita-cita anda sendiri)
Penutup perenggan : penanda wacana hajat terlaksana saya tidak akan putus-putus

        berdoa ke hadrat Ilahi, moga-moga memperoleh limpah rahmat-Nya.
 


Huraian lengkap :
Saya sedar untuk berjaya sebagai seorang usahawan, saya hendaklah menanamkan cita-cita untuk berjaya dalam bidang yang dihajati sejak kecil. Hak demikian amatlah penting kerana, untuk berjaya kita perlulah mempunyai hala tuju yang jelas. Saya sangat akur dengan akikat bahawa hidup tanpa cita-cita ibarat gahnya sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Demi merealisasikan cita-cita murni itu, saya hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan ikon-ikon yang telah berjaya dalam bidang perniagaan seperti mengikuti jejak langkah Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary. Seandainya, dimakbulkan oleh Tuhan, saya bercita-cita untuk menjadi usahawan dalam bidang ......................................... (masukkan cita-cita anda sendiri). Untuk memastikan hajat terlaksana, saya tidak akan putus-putus berdoa ke hadrat Illahi, moga-moga memperoleh limpah rahmat-Nya sama ada di dunia mahupun di akhirat (105 patah perkataan).
 


Isi 2 :  

Ayat Isi Utama/Ayat Judul :-  Dalam merealisasikan cita-cita tersebut, saya perlulah mengikuti jurusan pengajian yang sesuai sama ada di peringkat menengah mahupun di IPT ............................

Isi-isi sokongan :

H1 :  Langkah tersebut penting kerana ilmu pengetahuan yang dipelajari akan membantu
         kita meneroka sesuatu bidang yang sesuai
H2 :  penanda wacana bidang yang sesuai untuk saya pilih tentulah jurusan akaun dan
         keusahawanan
H3 :  Sebagai asas dan permulaan, saya akan berjinak-jinak dengan berlatih berniaga secara
         kecil-kecilan seperti menjual ................................................... (masukkan perkataan
         anda)
H4 : penanda wacana di sekolah, saya hendaklah bergiat aktif dalam koperasi sekolah dan
       menjadi ahli persatuan keusahawanan
Penutup perenggan : penanda wacana saya amat yakin dengan kata-kita hikmat, “di mana-
       mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
 
Huraian lengkap :
Dalam merealisasikan cita-cita tersebut, saya perlulah mengikuti jurusan pengajian yang sesuai sama ada di peringkat menengah mahupun di IPT. Langkah tersebut adalah penting kerana ilmu pengetahuan yang dipelajari akan membantu saya meneroka sesuatu bidang yang sesuai dengan matlamat yang diimpi-impikan. Oleh itu, bidang pengajian yang sesuai untuk saya pilih tentulah jurusan akaun dan ilmu keusahawanan. Sebagai asas dan permulaan, saya akan berjinak-jinak dengan berlatih berniaga seperti menjual kad prabayar, mencetak kemeja T, dan menjual bahan-bahan cenderamata yang kecil-kecil dahulu. Sementara itu, sewaktu di sekolah, saya hendaklah bergiat aktif dalam koperasi sekolah dan menjadi ahi dalam persatuan keusahawanan. Sesungguhnya, saya amat yakin dengan kata-kata hikmat, “di mana-mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. (106 patah perkataan)
 


Isi 3 :  

Ayat Isi Utama/Ayat Judul :-  Langkah yang paling tepat (strategik), saya hendaklah memulakan kerjaya berniaga sebaik tamat pengajian di IPT.

Isi-isi sokongan :

H1 : Langkah tersebut penting supaya saya tidak perlu teragak-agak untuk mencari kerjaya
        alternatif selain berniaga.
H2 :  penanda wacana semua ilmu yang saya peroleh semasa di sekolah dan di IPT masih
         lagi segar dalam ingatan dan dapat dipergunakan dengan sebaik mungkin
H3 :  Apabila menceburi bidang perniagaan pada usia yang masih muda, saya akan dapat
       merasai pengalaman jatuh bangun dan pahit getir dalam menjalankan perniagaan
H4 : penanda wacana semua pengalaman yang ditempuhi menjadikan saya lebih yakin
       untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya
Penutup perenggan : penanda wacana untung dan rugi adalah lumrah dalam dunia
        perniagaan, namun saya tetap berpegang teguh dengan Sabda Nabi SAW bahawa,
        “Sembilan persepuluh daripada kekayaan adalah datang daripada perniagaan”.

Huraian lengkap :

Langkah yang paling tepat (strategik), saya hendaklah memulakan kerjaya berniaga sebaik tamat pengajian di IPT. Langkah tersebut adalah penting supaya saya tidak perlu teragak-agak untuk mencari kerjaya alternatif (lain) selain berniaga. Manakala semua ilmu yang saya peroleh semasa di sekolah dan di IPT masih segar dalam ingatan dan dapat dipergunakan dengan sebaik mungkin. Apabila menceburi bidang perniagaan pada usia yang masih muda, saya akan dapat merasai pengalaman jatuh bangun dan  pahit getir dalam menjalankan perniagaan. Sebenarnya, semua pengalaman yang ditempuhi menjadikan saya lebih yakin untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Sememangnya, untung dan rugi adalah lumrah dalam dunia perniagaan, namun saya tetap berpegang teguh dengan Sabda Nabi SAW bahawa, “Sembilan persepuluh daripada kekayaan adalah datang daripada perniagaan”. (112 patah perkataan)
 



Isi 4 :  

Ayat Isi Utama/Ayat Judul :-  Dalam memastikan niat untuk berjaya dalam dunia perniagaan, saya hendaklah mengamalkan disiplin yang tinggi.

Isi-isi sokongan :

H1 : penanda wacana bahawa disiplin merupakan anak kunci untuk sesiapa jua yang
        inginkan kejayaan.
H2 : Perihal seperti menepati masa, menguruskan hal-hal kewangan serta mengelak
        daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah adalah terlalu penting bagi seseorang  
        usahawan.
H3 : penanda wacana saya hendaklah mengamalkan sikap yang telus, menepati masa dan
        jujur apabila berurusan dengan pelanggan.
H4 : penanda wacana saya hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi dan percaya akan
        diri sendiri jikalau mahu berjaya.
Penutup perenggan (PW) : penanda wacana saya hendaklah yakin bahawa disiplin,
        keyakinan diri dan daya usaha adalah menjadi intipati sesuatu kejayaan


Huraian lengkap :

Dalam memastikan niat untuk berjaya dalam dunia perniagaan, saya hendaklah mengamalkan disiplin yang tinggi. Jelas sekali bahawa disiplin merupakan anak kunci untuk sesiapa jua yang inginkan kejayaan. Perihal seperti menepati masa, menguruskan hal-hal kewangan serta mengelak daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah adalah terlalu penting bagi seseorang usahawan. Dengan hal yang demikian, saya hendaklah mengamalkan sikap yang telus, menepati masa dan jujur apabila berurusan dengan pelanggan. Oleh itu, saya hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi dan percaya akan diri sendiri jikalau mahu berjaya. Sudah sewajarnya, saya perlu yakin bahawa disiplin, keyakinan diri dan daya usaha adalah menjadi intipati kepada sesuatu kejayaan (96 patah perkataan).



Kesimpulan : Merujuk pepatah, membilang daripada esa, mengaji daripada alif, hujan berpokok dan kata berpangkal membuktikan bahawa semua urusan hidup kita hendaklah dimulakan dari awal. Setiap kejayaan hendaklah dimulakan dengan gigih dan ikutlah tertib berkerja dengan disiplin yang tinggi. Insya-Allah setiap niat yang baik dan disusuli dengan usaha yang gigih pasti beroleh kejayaan.


NOTA : Semua guru/pelajar;

Karangan ini disusun dalam 4 isi sahaja. Formula 1 + 4 + 1 digunakan sebagai proses untuk membimbing pelajar-pelajar dalam pencapaian biasa. Bukan untuk pelajar yang terlalu cemerlang dan jauh sekali untuk pelajar lemah. Anda boleh menyemak  rangka isi dan seterusnya meneliti tentang cara-cara huraian disusun dengan begitu teratur sekali.

SELAMAT MENCUBA. TERIMA KASIH

ANDA BOLEH MENYEMAK 3 LATIHAN LAGI DALAM BENTUK SUSUNAN TERANCANG SEPERTI INI SEKIRANYA ANDA MEMILIKI MODUL SAYA. SILA HUBUNGI SAYA DI 019 4789803 UNTUK MEMESAN MODUL ANDA.