Friday, October 31, 2014

MARHABAN YA SPM 2014

Assalamualaikum,


Tidak sampai 72 jam lagi, SPM yang anda nanti-nantikan bakal menemui setiap calon yang tidak sabar-sabar untuk membuktikan kebolehan masing-masing. Mengapakah anda menjadi calon SPM? Anda  menjadi calon kerana anda sudah mampu untuk menjawab semua soalan setelah anda benar-benar matang selepas 11 tahun dalam alam persekolahan. Adakah anda takut? Sudah pasti tidak. Tidak sama sekali.

Sesungguhnya, anda ialah anak-anak yang terpilih untuk menggalas amanah orang-orang yang berilmu. Yakinlah anda sebagai duta anak-anak muda pada 3 November nanti. Anda sudah bersedia dengan ketahanan mental dan fizikal serta emosi yang stabil.

Perlukah anda percaya kepada soalan ramalan (spot) dan soalan khabar angin pada saat-saat akhir? Anda tidak perlu terikut-ikut dengan gaya lama yang tidak banyak membantu seperti itu, malah kadang-kadang boleh mengganggu emosi anda.

BAHAYA SOALAN SPOT

1. Soalan spot selalunya keluar pada saat-saat akhir. Fungsinya untuk mengganggu konsentrasi pelajar sahaja
2. Mempercayai soalan spot akan membuatkan anda mengehadkan fokus kepada aspek yang lebih kecil, terhad dan jumud, sedangkan sebelum ini anda telah pun didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
3. Biasanya soalan spot jikalau benar-benar menjadi pun tidak ramai yang mampu menjawab dengan baik kerana calon menjadi upset. Lebih malang lagi, jikalau tidak keluar anda akan menjadi gelabah.
4. Mempercayai soalan spot menyebabkan anda melupakan segala pesanan dan tunjuk ajar guru yang selama ini telah bersusah payah melengkapi anda dengan segala aspek pengetahuan.
5. Sebenarnya pengetahuan yang ada merupakan senjata utama untuk anda mengolahkan sebarang bentuk soalan yang keluar. Tiada istilah NASIB BAIK dalam peperiksaan.

NASIHAT UNTUK SOALAN KERTAS 1 BM

1. Jikalau anda tidak mampu menguasai semua dimensi soalan, memadai anda memberi fokus kepada 3 aspek yang utama iaitu dimensi diri, keluarga dan masyarakat. 
2. Bagi dimensi diri dan keluarga salah satu daripadanya sudah pasti akan keluar. Untuk dimensi diri sudah pasti anda tahu dan faham akan kedudukan dan kehendak diri anda sendiri. Bagi dimensi keluarga, anda sudah tentu mempunyai pengalaman berkeluarga. Oleh itu, asas tersebut menjadi platform utama untuk anda mengarang. 
3. Sekiranya kedua-dua soalan tersebut amat mencabar, cubalah anda beralih kepada dimensi masyarakat. Soalan dalam dimensi masyarakat tidak lari jauh daripada isu-isu semasa dalam masyarakat.
4. Selain itu, anda wajar juga meninjau-ninjau soalan 5 iaitu UNSUR SASTERA. Soalan 5 tidak lari jauh daripada persekitaran KOMSAS seperti yang anda telah pelajari di dalam kelas.

CATATAN : Ingatlah semua contoh karangan dan rangka isi yang saya beri adalah sebagai input tambahan untuk menyokong usaha gigih anda. Walau apa-apapun, jikalau bertepatan contoh-contoh tersebut amatlah strategik untuk anda meraihkan markah yang cemerlang. Selebihnya saya hanya berdoa demi kejayaan anak-anak bunga bangsa yang tercinta.  


* Akhir kata SELAMAT BERJUANG, SELAMAT MAJU JAYA DAN ANDALAH YANG TERBAIK KEPADA DIRI ANDA

Wednesday, October 29, 2014

RALAT

Assalamualaikum

Dengan segala dukacita, saya ingin memaklumkan, penyebaran maklumat salah tentang diri saya yang kononnya saya sebagai KETUA PASUKAN PEMERIKSA KERTAS 1 adalah tidak benar sama sekali.

Atas segala kerendahan budi dan diri yang tidak sehebat mana, saya memohon supaya maklumat yang bukan-bukan tentang diri saya hendaklah dihentikan. Rakan-rakan dan para pelajar yang berminat dengan idea karya saya amatlah dialu-alukan. Semua bahan yang dimuatkan sebagai sumber sokongan yang mudah dan murah terutama kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk membeli buku.

Bermula dari sekarang berhentilah daripada membuat segala spekulasi. Saya tidak minta nama diangkat dan dijulang pada tempat yang salah.

Terima kasih.

TERIMA KASIH

ASSALAMUALAIKUM,

SAYA AMAT TERHARU APABILA BEBERAPA INSAN YANG SUDI MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA SAYA. TERASA SEKALI SEGALA PENAT LELAH DAN JERIH PAYAH MENYEDIAKAN CONTOH JAWAPAN DAN RANGKA ISI KARANGAN UNTUK PELAJAR-PELAJAR TERBAYAR APABILA ADA PIHAK YANG SUDI MENGHULURKAN KATA-KATA MURNI TERSEBUT.

DI SINI SAYA DEDIKASIKAN  DENGAN DOA DAN UCAPAN SELAMAT MAJU JAYA UNTUK ANDA MENJELANG SPM.



MAKLUMAN KEPADA RAKAN GURU

INSYA-ALLAH MODUL SEUMPAMA DI ATAS BAGI EDISI 2015 YANG DITAMBAHBAIKKAN AKAN TERBIT DISEMBER INI. MODUL YANG MESRA P&P INI SANGAT MEMBANTU DALAM MENINGKATKAN KUALITI KARANGAN PARA PELAJAR. 
SILA HUBUNGI SAYA 019 4789803

Thursday, August 21, 2014

KARANGAN DIMENSI KELUARGA

Assalamualaikum,

Sila baca karangan ini untuk persediaan peperiksaan Percubaan



Jasa ibu bapa perlu dikenang.  Namun begitu, terdapat sebilangan kecil  daripada mereka yang berjaya dalam hidup sering mengabaikan jasa dan budi ibu bapa.

Nyatakan perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk membalas jasa  mereka.


Tersebut kisah dalam cerita klasik Melayu, seorang anak muda yang bernama Tenggang.  Tenggang anak tunggal kepada seorang ibu tunggal.  Hidup mereka dirundung miskin.  Pada suatu hari, Tenggang telah memohon keizinan daripada ibunya untuk keluar merantau dengan harapan untuk mengubah kehidupan yang melarat itu.  Nasib Tengggang ternyata baik kerana dengan sikapnya yang ringan tulang dan amanah, dia telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang saudagar kaya.  Akhirnya, Tenggang telah menjadi menantu kepada saudagar tersebut. Masa berlalu, Tenggang kini bukan lagi anak hingusan tetapi seorang saudagar ternama.  Malangnya, dek diselimuti kemewahan dan limpahan kekayaan, ingatan Tenggang kepada ibunya telah mula luput  Tanpa diduga, dalam suatu pelayaran,  kapal Tenggang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran kampungnya dahulu.  Mendengar berita tersebut, si ibu yang telah sekian lama merindui anak tersayang menerpa menuju  ke bahtera Tenggang.  Alangkah hibanya hati ibu,   anak yang selama ini menjadi  buah hati pengarang jantung telah mengusir dan menendang si ibu kononnya ibu tua yang tidak sedar akan diri mahu mengambil kesempatan daripada kekayaannya.  Namun, tuhan lebih mengetahui, sikap buruk Tenggang dibalasi musibah, kapalnya tenggelam dipukul gelombang besar.  Tenggang mati ditelan laut  dalam keadaan diri yang berpalut Lumpur dan dosa.  Demikianlah secebis kisah daripada ribuan perbuatan anak-anak keji yang tidak mengenang jasa ibu bapa apabila mereka sudah benar-benar berjaya.   Dengan trgedi malang itu, sudah sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dan berusaha untuk menumpahkan kasih sayang kepada ibu bapa yang telah bersabung nyawa untuk membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya.

                Sebagai anak yang telah mengecapi  nikmat hasil pengorbanan ibu bapa, maka kita hendaklah menjadikan mereka  sebagai orang pertama dalam apa jua urusan hidup kita.  Seandainya merekalah orang yang pertama kita cari dalam masa kesusahan maka tidak sewajarnya mereka kita lupakan apabila kita  mencapai sebarang kejayaan.  Sikap ini perlu kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita. Selain itu, mereka juga yang mendidik dan  memberi ilmu sehingga kita menjadi manusia yang berguna.  Justeru, apabila kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau  berjaya dalam kerjaya maka ibu bapalah orang pertama yang perlu kita nobatkan sebagai pencetus kepada semua kejayaan tersebut.  Pada waktu ini, ibu bapa akan berasa tiada nikmat yang paling besar di dunia ini apabila anak-anak memulangkan segala kejayaan yang diraih adalah bertitik tolak daripada pengorbanan mereka.

                Bagi mengenangkan segala jasa dan pengorbanan mereka juga,  apalah salahnya jikalau kita cuba menyelami hati kecil mereka pada hari-hari tertentu yang istimewa dalam hidup mereka. Hari tersebut seperti hari ulang tahun perkahwinan,  hari jadi dan hari-hari perayaan.   Pada hari yang amat bermakna itu, hulurkanlah hadiah istimewa untuk dijadikan santapan rohani mereka.  Walaupun hadiah tersebut sekadar bernilai beberapa rial  tetapi memadai untuk menjadi simbolik kepada nilai kasih sayang mereka kepada kita bak laut yang tidak bertepi itu.  Atau pun, pada hari-hari istimewa tersebut bawalah mereka untuk melancong atau berziarah rakan kenalan.   Kepada yang beragama Islam pula berilah hadiah menunaikan Fardu Haji ke Mekah.  Kita juga patut meniru teladan baik beberapa individu yang telah berjaya yang  membawa dan memperkenalkan ibu bapa dalam majlis-majlis besar yang mereka menjadi tetamu istimewa.   Bayangkanlah betapa linangan air mata ibu bapa pada waktu itu pasti menjadi pembasuh api neraka.  Ingatlah, doa restu dan kepuasan jiwa mereka akan menjadi titian kejayaan kepada kita sama ada di dunia atau di akhirat.

                Apabila ibu bapa sudah menjelang usia tua, sudah menjadi tanggungjawab mutlak kepada kita untuk mengambil tahu keperluan hidup mereka seperti makan minum, kesihatan ubat-ubatan dan tempat tinggal.  Janganlah dek terlalu memburu kejayaan hidup di dunia,  ibu bapa dibiar terlantar di rumah-rumah orang tua.  Elakkanlah hidup menjadi dedalu masyarakat, ibarat kacang lupakan kulit.  Pada usia tersebut , ibu bapa tidak pernah menuntut sesuatu yang berlebih-lebihan sebaliknya mereka mengharapkan ihsan dan kasih sayang.  Cara penyelesaian terbaik adalah setiap anak perlulah membuat giliran untuk melihat kebajikan ibu bapa atau pun jikalau keadaan terlalu mendesak ambillah orang gaji untuk menjaga mereka.

Setiap ibu bapa sentiasa menaruh harapan untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia paling berguna kepada nusa, agama dan masyarakat.  Sebagai pelajar, inilah masa terbaik untuk kita membuktikan yang terbaik kepada mereka.  Belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar terbilang dan apabila berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan maka itulah sebenarnya hadiah yang tidak ternilai untuk kita mengenang jasa mereka.  Pada masa itu kita dapat melihat lelehan air mata gembira mereka bagaikan tidak boleh ditahan-tahan.  Seterusnya, jagalah hati mereka dengan cara tidak menghampiri atau terlibat dengan kerja-kerja yang tidak baik seperti menjadi samseng, bercakap keji, melepak, dadah dan seribu satu macam gejala kutu masyarakat yang terlalu keji di sisi agama dan moral.  Hati ibu bapa pasti akan lebur apabila anak-anak tercampak ke dalam kancah kehinaan seperti ini.

                Mafhum (maksud) daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud apabila mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah segala amal baiknya kecuali tiga yang masih kekal   Ketiga-tiga yang tersebut itu ialah, sedekah dan derma untuk faedah umum, anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan ilmu yang bermanfaat yang diajarkan untuk faedah manusia.  Janganlah kita putuskan hubungan kasih sayang kepada ibu bapa hatta mereka sudah meninggal dunia.  Doakanlah kesejahteraan mereka siang dan malam setelah mereka pergi meninggal kita.

Ibu  engkaulah ratu hati
                                                                             bilaku berduka
             engkau hiburkan selalu
Kenangilah jasa ibu bapa selama hidup dan mati mereka.  Nilai diri ibu bapa tidak akan tertukar dengan harta dunia walaupun segunung emas.  Ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu.

Wednesday, February 19, 2014

PANDUAN KARANGAN BAHAGIAN A - BAHAN RANGSANGAN

Assalamualaikum,

     Karangan bahagian A, Bahan Rangsangan menawarkan markah 30 daripada komponen keseluruhan 130 markah dalam kertas 1.

     Berdasarkan soalan dalam SPM 2013, karangan A adalah lebih bersifat separa tertutup kerana arahan menjawab soalan hendaklah difokuskan kepada tema selain calon perlu juga merujuk subisi jawapan yang telah dicatatkan di sebelah gambar rangsangan. Oleh itu, pelajar tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjawab soalan dengan idea sendiri tanpa merujuk langsung kepada kenyataan yang ada pada bahan rangsangan.

     Sementara itu, markah paling cemerlang ditetapkan pada aras 28/30. Manakala markah dalam kumpulan kepujian ialah 25 - 27. Dengan kata lain sekiranya calon mampu meraih markah dalam kategori tersebut mereka sebenarnya masih berada dalam zon cemerlang. Sebagai panduan, saya turunkan di bawah ini sepertiga sahaja daripada sampel cemerlang yang telah saya tulis semula bagi soalan SPM 2013. Anda boleh mendapat jawapan penuh karangan tersebut dengan merujuk modul saya, MODUL MAHIR MENGARANG, edisi 2014 yang telah diterbitkan pada akhir Januari lepas. Lihat contoh di bawah;

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan memelihara dan memulihara bangunan-banguna bersejarah di negara kita. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


HARAP MAAF, GAMBAR  SAYA TIDAK SERTAKAN DI SINI


           Ada pendapat yang menyatakan, kisah silam tidak perlu dikenangkan dan simpanlah sahaja dalam lipatan sejarah. Sebaliknya, para ilmuwan pernah bernukil bahawa, “Sejarah ialah guru yang paling benar dan sejarah tidak pernah berbohong”. Menyelami kata-kata tersebut secara pandangan mata hati, baharulah tergerak dalam hati dan sanubari kita untuk menyelak kembali lembaran sejarah silam yang telah mewarnai segala perilaku dan gaya hidup kita masa kini. Walau bagimanapun, belakangan ini, satu demi satu lembar-lembar sejarah semakin dilupakan. Akibat hambatan arus moden, bukan sahaja subjek sejarah telah menjadi subjek kelas dua, malahan monumen sejarah dan bangunan-bangunan bersejarah yang bernilai tinggi semakin pupus dan sekurang-kurangnya diabaikan begitu sahaja. Sebaliknya dalam dimensi yang berbeza, tinggalan sejarah terutama bangunan-bangunan bersejarah adalah aset yang amat bernilai dan seyogia dipelihara dan dipulihara atas beberapa maslahat sebagai maklumat sejarah, aset daya tarikan pelancong dan mengekalkan keunikan seni bina.

                Bangunan-bangunan di negara ini yang masih menjadi nilai sejarah adalah seperti bangunan Sultan Abdul Samad, di Kuala Lumpur, Kota A’ Famosa, di Melaka, Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Istana Sultan Abu Bakar di Johor Bharu dan bangunan-bangunan sekolah pada zaman kolonial. Walaupun sudah mencecah ratusan tahun, bangunan-bangunan tersebut masih kekal utuh dan dapat digunakan hingga............................................... sila dapatkan jawapan penuh dalam modul saya.





HUBUNGI SAYA DI TALIAN 019 4789803 

Sunday, February 2, 2014

MODUL MAHIR MENGARANG 2014

Assalamualaikum/Salam sejahtera,

Alhamdulillah, tabarakallah, dengan izin dan limpah kurnia Allah saya masih dilimpahi rahmat sihat, cergas dan siuman. Atas rahmat yang besar itulah lahir semula MODUL MAHIR MENGARANG BM SPM  edisi 2014


KANDUNGAN MODUL

> Panduan Operasi dan soalan latihan karangan ransangan
> Panduan Operasi karangan Umum
> Instrumen dan logistik bimbingan mengarang
> 26 sampel karangan cemerlang berskala markah A++
   * 5 sampel dimensi diri
   * 2 sampel dimensi keluarga
   * 6 sampel dimensi masyarakat (umum)
   * 5 sampel dimensi negara
   * 3 sampel dimensi global
   * 1 sampel unsur sastera
   * 4 sampel karangan paling cemerlang SPM 2013

> 6 set karangan dalam pelbagai dimensi untuk latihan KARANGAN BERPANDU


> 52 SOALAN INTENSIF KENDIRI YANG DISUSUN MENGIKUT DIMENSI

   * 6 soalan dimensi diri
   * 7 soalan dimensi keluarga
   * 12 soalan dimensi masyarakat
   * 6 soalan dimensi negara
   * 10 soalan dimensi global
   * 5 soalan unsur sastera
   * 6 soalan karangan berpandu

MATLAMAT

Penerbitan modul ini adalah sebagai bahan sokongan kepada para guru dan pelajar dalam usaha memahirkan dan melancarkan P & P guru di dalam kelas. 

Aplikasinya amat berkesan jikalau dapat disertakan dengan sesi ceramah MAHIR MENGARANG yang dikendalikan oleh penulis sendiri. 

Berdasarkan pengalaman lepas dan pengalaman 2013 khususnya, alhamdulillah banyak sekali soalan yang dimuatkan dalam modul ini telah muncul dalam peperiksaan SPM dan peperiksaan SPM ULANGAN. Insya-Allah dengan doa dan usaha, saya yakin modul edisi 2014 akan dapat membantu calon memahirkan diri mereka untuk menulis karangan yang cemerlang dengan mengikut spesifikasi yang yang dikehendaki oleh LPM.

Kepada para guru dan pelajar yang berminat sila hubungi saya dengan menghantar mesej untuk mendapat penjelasan. Insya-Allah, saya tidak pernah jemu untuk bermuamalah dengan saudara/i rakan di seantero pelosok negara.

Hubungi saya : 019 4789803 

POST AKAN DATANG : CONTOH-CONTOH KARANGAN CEMERLANG DALAM MODUL

2014 YANG MEMBAWA HARAPAN

ASSALAMUALAIKUM/SALAM SEJAHTERA,




2013 YANG BERLALU DENGAN DENGAN SERIBU KENANGAN

KINI 

2014 KITA JENGAHI DENGAN SERIBU HARAPAN

MARI 

BERSAMA-SAMA SAYA DALAM BLOG BIMBINGAN MENGARANG INI



ANDA BOLEH DAPATKAN MODUL TERBARU 'MAHIR MENGARANG' EDISI 2014 MULA DARI SEKARANG. HUBUNGI SAYA DENGAN MENGHANTAR MESEJ KE;

019 4789803